Sunday, 10 February 2013
Amber Chia cuti 15 hari
AMBER CHIA bukan nama asing dalam industri fesyen Malaysia. Wanita berwajah eksotik ini dikenali di serata dunia sebagai seorang peragawati terkenal, biarpun dia juga menceburkan diri dalam dunia lakonan.
Wajahnya sering terpampang menghiasi majalah tempatan dan antarabangsa bagi mempromosi jenama mewah dan produk berjenama. Melihat kepada kejayaan yang dicapai Amber, pasti masyarakat akan mempunyai persepsi bahawa wanita tinggi lampai ini bukan seorang yang mesra memandangkan namanya dan pencapaian antarabangsa yang diperolehnya.
Pada hakikatnya, wanita ini sebenarnya seorang yang sangat peramah dan akan berbicara dengan sesiapa sahaja yang mendekatinya. Tidak dinafikan juga, Amber juga seorang yang gemar bercerita.
Ketika Amber menghadiri majlis perasmian produk baharu barangan kemas Pandora di butik Pandora, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur, Kosmo! sempat menemu bual Amber tentang sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2013.
Bicara wanita ini, persiapan Tahun Baru Cina pada tahun ini telah dilaksanakan awal-awal lagi. Amber dan suami telah pun membeli pakaian dan barangan baharu buat keluarga tersayang.
amber chia bersama keluarga |
"Selain itu, kami juga akan bertemu sanak saudara sebelah keluarga lelaki. Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, kebiasaannya kami akan makan besar dan tahun ini saya makan bersama keluarga mertua memandangkan saya sudah berkahwin," cerita anak kelahiran Tawau, Sabah ini.
Enam beradik
Walaupun begitu, Amber tidak pernah lupa pulang ke kampung halaman di Tawau dan meraikan Tahun Baru Cina di sana pula bersama keluarga di sebelahnya pula. Cerita Amber, setelah dua hari bersama keluarga mertua, pada hari ketiga, dia dan keluarga akan pulang ke Tawau.
Itulah rutin Tahun Baru Cina Amber, suami, Adrian Wong dan anak, Ashton pada tahun lepas yang mana foto-foto kenangan ketika itu diabadikannya dalam laman web miliknya, mamababyworld.com.
"Memang menjadi kebiasaan kami enam beradik akan pulang ke Tawau untuk bersama meraikan Tahun Baru Cina bersama ibu dan bapa. Saya suka dapat berkumpul bersama keluarga dan memeriahkan suasana.
"Ini kerana ibu bapa saya tinggal di kampung, jadi suasana riuh itu mungkin berbeza dari bandar. Saya suka juga mood sebegitu, dan kelihatan semua orang pakai warna merah dan saya memang sukakannya," jelasnya yang walaupun kelihatan moden, namun dia masih gemarkan suasana kampung.
Bagi wanita yang berketurunan Hokkien ini, dia dan keluarga ada mengikuti satu ritual yang akan diamalkan pada setiap kali menjelang Tahun Baru Cina. Menurut Amber, mereka akan mengadakan satu upacara sembahyang pada hari kelapan Tahun Baru Cina.
Ketika itu, mereka akan mendoakan agar dilimpahkan rezeki dan kesejahteraan diri dan keluarga.
Ular air
Setelah upacara selesai, mereka akan mengadakan rumah terbuka dan juga makan besar bersama keluarga. Ujar Amber lagi, tahun ini bertuah kerana ia merupakan tahun ular air dan air bagi kaum Cina ia bermaksud wang.
"Memandangkan tahun ini ialah tahun ular air, jadi ia sebenarnya membawa tuah untuk kami kaum Cina. Ini kerana dipercayai, air itu bermaksud wang, jadi mungkin untuk perniagaan akan membawa makna yang baik dan begitu juga untuk kehidupan," kata Amber yang lahir pada tahun rusa.
Walaupun mempunyai jadual yang sibuk, namun Amber tidak pernah ketinggalan pulang ke kampung halaman dan meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga tercinta. Katanya, inilah satu-satunya hari yang dia dapat bertemu dan bergembira bersama keluarga dan saudara-mara.
"Kebiasaannya, pada Tahun Baru Cina, saya ambil cuti panjang iaitu selama 11 ke 15 hari dan memang setiap tahun saya akan cuti. Namun ada sekali, saya perlu bekerja di New York pada tahun 2009 dan tidak dapat meraikan Tahun Baru Cina.
"Memang ketika itu saya berasa amat sunyi kerana tidak dapat merasa suasana meriah dan tambahan pula saya berada seorang diri di sana. Ini kerana sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, saya sangat suka dengan suasana di Malaysia sendiri. Suasana di New York, sangat berbeza. Walaupun Tahun Baru Cina, namun ada juga kaum lain yang akan datang mengunjungi rumah bagi meraikannya bersama-sama," ujarnya mengakhiri perbualan.
Anda juga mungkin meminati untuk membaca...
HOT NEWS!
-
Terdapat 6 Kekosongan Jawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Terbuka Sepanjang Tahun 2013. Kementerian Kesihatan Malaysia mempel...
-
PETALING JAYA : Pelakon Almy Nadia membuat keputusan untuk mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan berhubung pertunangan Fizz F...
Comments[ 0 ]
Post a Comment